4 Sebab Kenapa Projek Rumah Impian Musnah Dan Akhirnya Terbengkalai

Share on facebook
Share on whatsapp
Share on twitter
Share on telegram

Kenapa Bina Rumah Tapi Akhirnya Terbengkalai?

4 Sebab Kenapa Projek Rumah Impian MUSNAH Dan Akhirnya Terbengkalai

“Saya boleh buat tuan. Jangan risau. Confirm siap dalam masa 3 bulan. Harga saya beri lump sum RM250,000. Tuan bayar deposit, saya jalan kerja…”

Jika anda pernah menjadi mangsa penipuan, mungkin anda pernah dengar ayat seperti ini keluar dari kontraktor yang tidak bertanggungjawab.

Sebagai seorang yang kurang arif dalam pembinaan, tuan rumah kebiasaannya akan bersetuju dengan kata-kata seperti di atas.

“Kami dah buat kerja ni 10 tahun lebih. Apa yang kami offer ni sebenarnya dah jauh lebih baik dari harga standard.” 

…ditambahnya lagi untuk menampakkan diri mereka seolah-olah pakar dalam bidang ini.

Kini, tuan rumah sudah yakin dengan pilihan beliau.

Tanpa berfikir panjang, tuan rumah menggunakan duit simpanan beliau untuk membayar wang deposit.

Projek pun bermula dan ianya kelihatan bermula dengan baik.

Bahan binaan dibawa masuk. Jentera dan mesin mula bergerak ke tapak pembinaan.

Hasilnya sudah ada.

Dengan progress yang diberikan, tuan rumah mengurangkan kadar pemantauan ke hanya sekali sahaja seminggu.

Lama-lama kelamaan, hasil kerja makin kurang memberangsangkan. 

Namun, perkara ini tidak disedari tuan rumah sehinggalah tiada langsung pekerja berada di tapak pembinaan.

Menyedari kejadian ini, beliau cuba untuk hubungi kontraktor. Tapi GAGAL.

Kontraktor diam seribu bahasa. Tuan rumah buntu dan tidak dapat berbuat apa-apa.

Dan akhirnya, projek tersebut dibiarkan TERBENGKALAI.

Duit sudah dibayar, akaun simpanan sudah berkurangan, tapi hasilnya? Lesap sekelip mata.

Kenapa Perkara Ini Terjadi?

Jika kita lihat dari contoh di atas, daripada awal lagi kita boleh rasakan sesuatu yang tidak betul tentang kaedah perbincangan dan persetujuan itu berlaku.

Jom kita lihat satu per satu.

Tiada Hitam Putih Untuk Persetujuan Harga

Apabila kita lihat perbualan di atas, perbincangan mengenai harga hanyalah dibuat secara lisan.

Tiada rekod yang boleh digunakan untuk membuka kes di peringkat pengadilan atau tribunal.

Tanpa rekod yang jelas, sangat-sangat sukar untuk anda buktikan bahawa terdapat sebuah persetujuan antara anda dengan kontraktor untuk melaksanakan projek tersebut.

Oleh itu, kontraktor yang tidak bertanggungjawab mengambil peluang ini untuk mengorak langkah beredar dari tapak projek. 

Di dalam contoh di atas, kami gunakan taktik ‘menghilangkan pekerja satu-per-satu’, yang merupakan salah satu taktik yang terkenal dalam kes projek terbengkalai. Mereka akan mula tidak membayar pekerja mereka, dan pekerja-pekerja tersebut akan mula mogok dan berhenti kerja.

Di dalam sistem undang-undang, khususnya dalam pembinaan, kontrak hanyalah sah sekiranya mempunyai nama pemilik, nama kontraktor, skop kerja dan harga.

Tanpa ada sebarang bukti hitam putih untuk setiap informasi tersebut, peluang untuk anda pertahankan diri dari kontraktor yang tidak bertanggungjawab seperti ini adalah sangat nipis.

Harga Disebut Sebagai Lump Sum

Lump Sum bermaksud satu harga yang dipersetujui untuk ke semua kerja yang terlibat dalam sesebuah projek pembinaan.

Di dalam kes ini, kontraktor menyebut satu harga untuk menyiapkan rumah tersebut.

Tetapi, adakah ini cara yang betul?

Sememangnya normal untuk kontraktor memberi harga secara Lump Sum kerana ia melibatkan pelbagai risiko yang kontraktor perlu ambil.

Dengan memberi harga secara Lump Sum, kontraktor mempunyai ruang untuk menyusun atur bajet bahan dan upah pekerja mereka. 

Bagi yang tidak biasa dengan dunia pembinaan, mungkin ianya nampak lebih mudah kerana tidak perlu untuk teliti setiap kos yang ditanggung. 

Tetapi, ada satu perkara yang anda perlu tahu…

Lump Sum juga adalah taktik untuk kontraktor bina rumah menipu anda!

Terdapat banyak cara kontraktor yang tidak bertanggungjawab boleh mempermainkan anda dengan struktur harga ini. Yang paling kerap dilakukan adalah dengan mengenakan mark-up yang terlampau tinggi dan memberi anda kualiti bahan yang murah. Ini akan memberikan mereka margin keuntungan yang besar dan sudah tentu, kerugian yang teruk bagi pihak tuan rumah.

“Jadi, apa saya boleh buat kalau kontraktor beri harga lump sum ni?”

Anda WAJIB minta mereka pecahkan harga lump sum tersebut kepada kos-kos yang penting seperti kerja-kerja pemasangan tiang konkrit, base slab, dinding batu bata, kerangka bumbung, pendawaian, perpaipan dan lain-lain skop kerja.

Dengan mempunyai pecahan harga seperti ini, anda akan lebih mudah untuk bandingkan dengan harga kontraktor yang lain. Dan buat penilaian dan nego dengan kontraktor-kontraktor pilihan anda.

Tidak Semak Sebelum Lantik

Semua orang boleh bercakap. Manakala, sesetengah orang sememangnya pandai untuk berkata-kata.

Tetapi tidak ramai yang boleh buktikan apa yang mereka katakan.

Dunia kontraktor ini juga tidak lari dari konsep ini.

Kontraktor yang betul-betul berpengalaman dan berkualiti mempunyai pelbagai sumber rujukan projek yang mereka boleh banggakan.

Namun, terdapat segelintir kontraktor ibarat tin yang kosong, kuat di luar tetapi kosong di dalam.

Oleh itu, adalah tugas pemilik projek untuk menyiasat lebih lanjut tentang syarikat kontraktor yang mereka ingin lantik.

Di dalam contoh di atas, mereka mengaku berpengalaman lebih dari 10 tahun dalam pembinaan. 

Tetapi, apakah bukti mereka?

“Ala, dia serba serbi tahu tentang selok belok pembinaan ni.. Dia siap buat planning lagi apa perlu nak buat. Dia dah berpengalaman lebih 10 tahun kot.. Apa lagi dia nak tipu?” 

Jika anda percaya, anda silap!

Perkara yang perlu anda lakukan sebelum bercakap dengan mana-mana kontraktor adalah dengan menyelidik latar belakang mereka secara online.

Laman media sosial seperti Facebook adalah tempat yang paling mudah untuk anda rujuk projek-projek mereka yang lepas. Sekiranya mereka aktif dalam membuat posting dan update laman media sosial mereka, maka anda boleh mula menghubungi mereka untuk meminta sebut harga.

Tiada Kontrak

Perjanjian antara kedua belah pihak hanya terjadi apabila mempunyai harga, skop kerja dan persetujuan kedua belah pihak.

Ia memastikan kedua-dua belah pihak memainkan peranan masing-masing dalam melaksanakan projek tersebut.

Secara ringkasnya, pemilik membayar kontraktor dan kontraktor melaksanakan tanggungjawab mereka memastikan rumah dibina mengikut spesifikasi dan pelan yang telah ditetapkan.

Namun, ramai orang kita selalu tinggalkan perkara ini.

Apabila sudah terjadi perkara yang mereka tidak ingini, barulah mereka terduduk menyesal kerana tiada tuntutan yang boleh dibuat tanpa perjanjian hitam putih yang sah.

Kerugian yang ditanggung bukan kecil. Ia boleh mencecah sehingga ratusan ribu ringgit.

Pihak mahkamah atau tribunal memerlukan bukti sebuah perjanjian itu terbina dalam mana-mana projek pembinaan.

Tanpa perjanjian tersebut, kontraktor akan mempunyai potensi yang tinggi untuk terlepas dari apa-apa hukuman apabila mereka menipu anda.

Di dalam sesebuah perjanjian bina rumah, beberapa klausa penting seperti harga, skop kerja, nama pemilik, nama kontraktor, kaedah pembayaran, waranti dari kontraktor dan lain-lain akan melindungi anda sebagai pemilik projek.

Ia bukan sahaja bakal menyelamatkan anda dari segi undang-undang, malah ianya akan menakutkan pihak kontraktor dan pastikan mereka menjalankan projek mengikut spesifikasi dan masa yang ditetapkan!

Tetapi, sekiranya anda merangka kontrak itu sendiri, janganlah sampai ianya membebankan kontraktor anda. Sebaiknya, berikan mereka sedikit kelonggaran tetapi dalam masa yang sama, kawal mereka untuk pastikan projek anda siap.

Segalanya Bermula Di Sini

Berdasarkan perbincangan di atas, anda mungkin sudah boleh mendapat gambaran apakah sebab-sebab projek menjadi terbengkalai.

Kesimpulan yang kami ingin berikan adalah:

  1. Pastikan terdapat hitam putih dalam persetujuan harga pembinaan
  2. Membuat pecahan pada harga lump sum yang diberikan
  3. Kaji selidik kontraktor secara online sebelum panggil untuk sebut harga
  4. Memiliki perjanjian antara kontraktor dan pemilik projek

Kisah yang kami ceritakan atas hanyalah salah satu dari ribuan kisah benar yang terjadi untuk membina rumah di atas tanah sendiri.

Sebagai seorang yang mengimpikan untuk memiliki mahligai indah untuk keluarga, pastikan anda menjalani tanggungjawab anda. Pastikan anda telah membuat homework dalam persiapan untuk membina rumah atas tanah sendiri.

Baca artikel kami di bawah untuk mengetahui rahsia-rahsia kejayaan dalam proses pembinaan rumah anda:

9 Langkah KRITIKAL Untuk Bina Rumah Atas Tanah Sendiri

Anda Ada Persoalan atau Cadangan?

Segala bentuk komen sangat-sangat kami alu-alukan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Tentang Kami

Kami merealisasikan impian pemilik rumah untuk memiliki rumah yang cantik, selesa didiami dan menjadi simbol kebanggaan dengan memudahkan, mempercepat dan mengurangkan kos pembinaan.

Khas Untuk Anda

Surat Perjanjian Bina Rumah

Elak Ditipu Kontraktor & Projek Rumah Impian Anda Bertukar Menjadi Projek Terbengkalai! —Ratusan Ribu Ringgit Hangus Di Tangan Mereka.

Lindungi Hak Anda Sebagai Pemilik Projek dengan Perjanjian Bina Rumah Dengan Pihak Kontraktor

Apa yang akan anda dapat – Persetujuan harga projek, penentuan skop kerja, pecahan harga quotation, denda lewat siap (Liquidated Ascertained Damage, LAD), tambahan masa projek (Extension of Time, EOT), pembayaran secara progesif (Interim Payment Certificate), tempoh pembaikan kecacatan (Defect Liability Period, DLP), waranti selepas siap, perubahan skop (Variation Order).

Scroll to Top